3 Entri Paling Kerap Dibaca Seminggu Ini

19 May 2006

MARAH KERANA CINTA, BUKAN KERANA BENCI

MARAH KERANA CINTA, BUKAN KERANA BENCI

Saya masih ingat sikap `unik' (aneh) sesetengah orang-orang tua kampung
dulu-dulu. Ruang di bawah rumah mereka selalunya diperuntukkan untuk
meletakkan barang usang yang `kurang' atau tidak perlu. Selalunya
botol-botol,
tin-tin atau papan-papan buruk. Entah kenapa semua itu tidak dibuang. Hanya
di letakkan begitu sahaja. Diguna
tidak, dibuang pun tidak. Peliknya, apabila barang-barang `antik' itu
hendak diambil oleh orang lain, cepat-cepat pula mereka melarangnya. Tak
boleh nak guna, sayang, dan macam-macam alasan.
Itulah sebuah analogi yang terlintas di fikiran bila saya ditanya tentang
kemarahan umat Islam terhadap
penyiaran karikatur menghina nabi Muhammad s.a.w oleh akhbar-akhbar Eropah
khususnya Denmark.
"Encik tidak marah?" tanya seorang siswa sehabis sahaja majlis diskusi
tentang topik berkenaan.
"Marah," akui saya perlahan.
"Tak cukup begitu sahaja. Esok kita berarak, bakar bendera Denmark!"
Saya senyum.
"Kita ada cara yang lebih baik. Ada senjata yang lebih hebat. Doa," balas
saya.
"Kita kena tunjuk kemarahan kepada mereka yang menghina Rasul."
"Menunjukkan kecintaan kepada Rasul lebih utama."
"Marah itulah tanda kecintaan kita"
"Betul. Tetapi membuktikan kecintaan dengan mengamalkan sunnahnya jauh
lebih utama."
"Encik takut?"
Saya renung matanya.
"Mengamalkan sunnah Rasul memerlukan lebih keberanian Tentangannya lebih
hebat. Bahkan daripada orang Islam
sendiri," tusuk saya perlahan.
"Kita bakar bendera mereka!"
"Kita `bakar' cara hidup mereka. Itu lebih relevan."
Giliran dia pula yang diam. Mungkin siswa yang `terbakar' ini mula
mengunyah maksud kiasan saya.
Lalu saya ceritakan analogi awal tadi. Alhamdulillah, dia mendengar teliti.
"Kita dengan sunnah, seperti orang tua-tua dahulu dengan barang-barang
usang di bawah rumah. Nak digunakan tidak, nak dijunjung jauh sekali,
tetapi bila ada orang lain nak mengambilnya, barulah heboh konon nak
digunakan."
"Bagaimana kita hendak tunjukkan perasaan marah?"
"Demontrasi depan manusia. Depan Allah, kita berdoa.
Kita muhasabah, sejauh mana kecintaan kita kepada Rasul-Nya. Mungkin
provokasi Barat membawa pengajaran tersirat."
"Pengajaran tersirat?"
"Ya, tersirat dari Allah agar kita menilai semula benar-benarkah kita
mencintai sunnah Rasul-Nya selama ini."
"Kemarahan ummah inilah buktinya," ujarnya bersemangat.
"Kemarahan cuma bermusim. Hanya luapan sentimen berkala. Namun kegigihan,
kebijaksanaan, perancangan dan ketabahan jangka panjang amat perlu."
"Maksud encik?"
Jelas dia terpancing dengan kilasan dan kiasan kata-kata.
"Jangka panjang, sudahkah kita mendidik generasi muda mencintai Rasul dan
keluarganya? Saya risau generasi muda yang mabuk hedonisme kini tidak akan
punya kemarahan yang sama seperti yang saudara alami."
"Saya ada kawan-kawan sebaya yang hidupnya lintang pukang, tapi masih marah
bila Rasulullullah dipersendakan. Mereka akan turut berarak esok!"
"Hidup lintang-pukang? Macam mana tu?" tanya saya minta kepastian.
"Rock habis. Sembahyang tidak. Bergaul bebas biasalah tapi cinta mereka
terhadap Rasul tak luntur."
"Ajak mereka sembahyang dulu. Tak berarak pun tak apa. Cinta dulu, marah
kemudian. Bila ada cinta, pasti ada
marah bila kecintaan dicela. Tapi kalau marah saja, belum tentu ada cinta "
Dia diam lagi. Kali ini diamnya lebih panjang.
"Agaknya orang tua tu marah tak kalau kita ambil barang-barang berharga di
atas rumah?" tanyanya tiba-tiba.
"Orang tua mana?" tanya saya semula. Hairan.
"Orang tua dalam analogi encik tadi itulah!"
"Soalan tu kurang umph," gurau saya.
"Habis soalan apa yang umph?"
"Agaknya orang berani tak hendak minta barang di atas rumah? Berbanding
barang usang di bawah rumah?" balas
saya. Termenung lagi dia. Seronok rasanya `membimbing' siswa ini berfikir.
Terimbau luapan semangat saya sewaktu di
kampus dulu. Beginilah pola berfikir saya. Tiba-tiba dia bersuara, "tentu
tak berani, kerana barang di atas rumah tentu lebih berharga."
"Begitulah sunnah, jika dihayati, diamalkan dan diperjuangkan. Ia nampak
sangat berharga di tangan pencintanya. Musuh tak kan berani mengusiknya,
apalagi nak menghinanya"
"Encik ni, tak sangka ke situ pula kiasannya."
"Kita orang Islam mesti menghormati diri sendiri terlebih dahulu, barulah
orang lain akan menghargai kita. Justeru, jika kita marahkan musuh yang
mengecam Rasul, marahkanlah juga diri kita yang tidak benar-benar
mencintainya!"
"Dan bukti cinta amalkan sunnah Rasul. Itulah cara paling berkesan
mempamerkan `kemarahan' kepada musuh-musuh yang menghinanya."
Alhamdulillah, saya yakin, kini marahnya kerana cinta bukan kerana benci.
Dominasi cintakan Rasul bukan emosi bencikan musuhnya!

**dari sumber bertulis tempatan

Kita Kawan, Bukan Mahu Lawan

Koleksi Flash Header

Related Posts with Thumbnails